Kos Tanam Rambut di Malaysia
Kos tanam rambut sudah tentu menjadi satu perkara penting yang perlu diambil kira bagi mereka yang mengalami masalah rambut botak.
Rawatan tanam rambut atau transplan rambut merupakan prosedur pembedahan yang mengeluarkan folikel rambut daripada mana-mana bahagian tubuh badan dan kemudiannya menanam semula di bahagian-bahagian yang mengalami masalah kekurangan rambut atau kebotakan.
Masalah rambut gugur yang ekstrem sehingga mengalami kebotakan secara umumnya adalah bersifat kekal. Sudah tentu anda ingin mencari rawatan terbaik di samping kos tanam rambut yang bersesuaian dengan bajet anda.
Apa-apa pun, mari kita lihat dulu fakta tentang rambut.
Punca Keguguran Rambut
Terdapat pelbagai sebab berlakunya masalah keguguran rambut. Antaranya adalah seperti tekanan samada secara fizikal ataupun secara emosi. Tekanan yang dialami samada secara fizikal ataupun emosi akan membawa kepada masalah Telogen Effluvium (situasi keguguran rambut sementara) yang boleh membawa kepada masalah keguguran rambut kekal.
Selain itu corak kebotakan rambut lelaki atau Androgenetik Alopecia iaitu penipisan rambut disebabkan folikel rambut yang berubah dan mengecut yang membawa kepada rambut menipis. Ditambah pula ada segelintir individu yang suka mengikat rambut secara ketat mengakibatkan rambut ditarik secara kuat dalam tempoh masa yang lama, akan menyebabkan kehilangan rambut sedikit demi sedikit.
Selain itu fenomena Trichotillomania ataupun kebiasaan menarik atau mencabut rambut. Tabiat ini turut akan menghasilkan kesan yang sama iaitu rambut menipis atau botak di mana-mana bahagian tertentu jika sekiranya dilakukan dalam tempoh masa yang lama secara berlebihan. Ia akan menyebabkan kulit kepala berparut dan membawa kepada risiko kehilangan rambut kekal.
Antara lain adalah Hipotiroidisme atau kurangnya pengeluaran hormon tertentu oleh tiroid. Ia merupakan punca yang paling biasa berlaku yang menyebabkan kehilangan rambut di sesetengah kawasan tubuh yang dikenali sebagai Alopecia Areata (rambut gugur secara berkelompok). Antara penyebab berlakunya Hipotiroidisme adalah kecacatan sejak kelahiran, penyakit autoimun dan pembedahan melibatkan pembuangan tiroid.
Penyakit autoimun merupakan salah satu sebab berlakunya masalah keguguran rambut dan botak. Apabila anda menghidap diabetes, artritis dan sebagainya, penyakit autoimun akan berlaku. Ia adalah apabila sistem imun badan sendiri tersalah menyerang dan memusnahkan tisu badan yang sihat. Ini termasuklah menyerang folikel rambut, sel-sel dan tisu-tisu penting untuk pertumbuhan rambut. Ini termasuklah cicatrical alopecia (keguguran rambut kekal berkaitan dengan parut) dan Telogen (keguguran apabila kitaran pertumbuhan rambut terganggu).
Jangkitan kuman atau kurap yang disebabkan oleh sejenis kulat dipanggil dermatophytes yang hidup dalam keadaan panas, lembap dan kotor turut menyumbang kepada masalah rambut gugur. Jadi pastikan anda yang sentiasa menutup rambut supaya memastikan rambut dicuci dan kering selalu bagi mengelakkan kehadiran kulat tersebut.
Kemoterapi bagi pesakit kanser juga turut menyumbang kepada keguguran rambut. Sifat bagi sel kanser adalah ia membahagi dan berkembang dengan cepat berbanding dengan sel-sel yang lain. Fungsi Kemoterapi pula adalah ‘menyerang’ sel-sel yang bersifat membahagi dan berkembang dengan pesat seperti mana sel-sel kanser . Namun, ironinya folikel rambut juga mempunyai sifat yang sama. Jadi kemoterapi juga akan menyebabkan masalah rambut gugur. Samada secara sedikit ataupun lebih banyak bergantung kepada jenis ubat yang digunakan.
Kekurangan zat makanan tertentu turut akan menyebabkan masalah keguguran rambut. Sebagai contoh kekurangan zat besi akan menyebabkan anemia; badan tidak mempunyai sel-sel darah merah yang mencukupi. Sel darah merah amat penting kerana ia membawa oksigen ke semua sel dalam badan serta mengekalkan fungsi normal sel, termasuklah folikel rambut.
Menanam rambut atau transplan rambut (hair transplant)
Disebabkan masalah rambut gugur dan kebotakan secara dasarnya adalah kekal, kini dengan teknologi canggih, tanam rambut dilihat sebagai satu alternatif terbaik bagi mengembalikan keyakinan setiap individu yang mengalami masalah keguguran rambut dan kebotakan.
Kos tanam rambut adalah bergantung kepada teknik yang digunakan oleh doktor bertanggungjawab; samada doktor mengambil rambut di bahagian ‘donor’ ataupun daripada belakang kepala, serta jumlah rambut yang diambil. Di bawah akan diterangkan dua teknik yang digunakan oleh doktor dalam menetapkan kos tanam rambut yang akan dikenakan.
FUT (Follicular Unit Transplant Surgery)
Merupakan teknik secara pembedahan di mana doktor akan membedah sedikit kulit pada kawasan belakang kepala bagi mengambil satu hingga empat helai unit folikel rambut yang terdiri daripada kelenjar sebum, otot-otot kecil dan rambut vellus halus. Ia dikeluarkan daripada kawasan penderma dan ditanam semula di kawasan penerima; kawasan bermasalah rambut menipis dan kebotakan.
Kawasan yang luka akibat proses ini akan dijahit kembali, manakala rambut dan kulit kepala yang telah diambil akan diproses mengikut cara tertentu sebelum ditanam. Kos tanam rambut menggunakan kaedah ini adalah lebih murah berbanding teknik tanam rambut yang ke dua nanti.
FUE (Follicular Unit Extraction)
Teknik tanpa sebarang pembedahan atau tanpa sebarang pemotongan kulit kepala. Doktor akan mengambil satu-persatu unit folikel rambut yang diperlukan. Doktor akan menanamnya di kawasan botak atau penerima. Jadi hanya akan ada lubang-lubang kecil di mana ia akan sembuh dalam masa beberapa hari. Cara ini digunakan apabila pesakit mempunyai parut yang banyak dan kulit yang tidak sesuai untuk prosedur FUT. Kos tanam rambut menggunakan kaedah ini sedikit mahal berbanding kaedah pertama. Ia lebih mudah sembuh dan tidak mengalami luka yang besar.
Apakah kos tanam rambut yang anda patut bayar? Ia bukan sahaja melibatkan wang ringgit tetapi juga melibatkan rasa tidak selesa terutamanya apabila menjalankan proses FUT. Walau bagaimanapun samada melakukan prosedur FUT atau FUE bius setempat atau ‘Local Anaesthesia’ akan dilakukan di kawasan sasaran bagi mengurangkan rasa sakit dan ketidakselesaan semasa proses tanam rambut dijalankan.
Selepas prosedur tanam rambut dijalankan, anda akan merasa kesakitan dan pembengkakan. Jadi kos tanam rambut bukan hanya melibatkan semasa prosedur tanam rambut, tetapi juga merangkumi ubat-ubatan selepas prosedur tanam rambut termasuklah antibiotik untuk mengelakkan risiko jangkitan, ubat anti keradangan bagi mengurangkan bengkak, vitamin serta tonik rambut.
Purata kos tanam rambut samada menggunakan kaedah FUT atau FUE adalah dalam anggaran RM6 sehingga RM12 untuk satu-satu folikel rambut yang diperlukan. Kini terdapat juga pusat-pusat kecantikan yang menawarkan rawatan ini dengan harga yang lebih murah berbanding yang disebutkan di atas. Walau bagaimanapun anda disarankan untuk mendapatkan perkhidmatan ini daripada doktor profesional yang telah disahkan bagi mendapatkan rawatan yang terjamin selamat.